INDERA SC BERPESTA GOL

 
 
Antara aksi pada perlawanan tersebut
Pasukan Indera SC berpesta gol ke atas pasukan Najip I-Team 6 - 0 sambil mengutip tiga mata penuh pada Perlawanan Liga Super Brunei DST 2017 yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Tutong, di sini.

Md. Shafie bin Haji Mohd. Effendy beraksi cemerlang setelah menjaringkan gol 'hat-trick' bagi pasukan Indera SC sebelum Hamizan Aziz bin Sulaiman, Md. Asri bin Haji Aspar dan Md. Aimmil Rahman bin Ramlee masing-masing menyumbangkan sebiji gol ke gawang lawan.

Babak pertama perlawanan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun pasukan Indera SC lebih bijak mengatur serangan setelah Md. Shafie berjaya membuka jaringan pada minit ke-30.

Penyerang Indera SC, Md. Shafie meneruskan lagi momentumnya pada malam tersebut dengan berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-45.

Separuh masa kedua menyaksikan pasukan Indera SC terus menguasai perlawanan dengan serangan balas pantas yang akhirnya membuahkan hasil apabila Hamizan Aziz menjaringkan gol sulungnya melalui gerakan bijak yang dilakukan oleh beliau untuk melepaskan pertahanan kanan pasukan Najip I-Team pada minit ke-51.

Serangan pantas pasukan Indera SC terus lagi mengucar-kacirkan pertahanan pasukan Najip I-Team apabila Md. Asri melengkapkan jaringan 'hat-trick'nya pada malam tersebut pada minit ke-64 setelah berjaya menjaringkan gol dari jarak dekat yang menewaskan penjaga gawang pasukan Najip I-Team, Md. Bungsu bin Haji Munap.

Md. Asri dan Md. Aimmil Rahman menambahkan lagi luka pasukan Najip I-Team setelah masing-masing bijak membuat gerakan hebat yang menewaskan Md. Bungsu untuk menjaringkan gol pada minit ke-67 dan 87.

Perlawanan seterusnya menyaksikan pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) menentang pasukan Kota Ranger FC yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada 29 September ini.

Popular posts from this blog

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

INDERA ALL SET FOR PENJARA CHALLENGE