INDERA SC MENANG 4-0

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Indera SC menang 4-0 di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) manakala Tabuan Muda mengikat Wijaya FC 0-0 di Kompleks Sukan Tutong dalam aksi serentak Liga Super DST 2015 malam kelmarin.

Kemenangan Indera SC itu membolehkannya merampas puncak Liga Super DST 2015 dari Najip I-Team. Walaupun mengumpul mata yang sama, 18, Indera SC memiliki +23 perbezaan gol berbanding hanya +2 bagi Najip I-Team.

Salah satu rembatan bahaya Indera SC (kuning) dalam kemenangan 4-0 ke atas Jerudong FC kelmarin.

Kejayaan mengekalkan rekod sempurna enam kemenangan daripada enam perlawanannya setakat ini memerlukan kerja keras dan persembahan lebih mantap babak kedua, sebagaimana dilakukannya pada musim-musim yang sudah dalam laluannya merangkul kejuaraan.

Jerudong FC berjaya mengekang Indera SC daripada menjaringkan gol pada babak pertama tetapi tiada apa yang dapat mereka lakukan pada babak kedua apabila serangan bertali arus dilancarkan oleh Indera SC sehingga berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit saja.

Sam Frank membuka tirai jaringan pada minit ke-58 disusuli dua gol oleh ketua pasukan, Hamizan Aziz pada minit ke-61 dan ke-63. Md Asri Haji Aspar mencatat namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-83 untuk keputusan muktamad 4-0 memihak Indera SC.

Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatat Wijaya FC dengan Tabuan Muda membolehkan Wijaya FC kekal menduduki tempat keempat dengan 13 mata daripada tujuh permainan, dua mata di belakang tempat ketiga, MS ABDB, yang baru bermain lima kali.

Kekalahan 0-4 Jerudong FC pada malam yang sama dan keputusan serinya dengan Wijaya FC membolehkan Tabuan Muda yang sudah bermain lapan kali memintas Jerudong FC untuk menduduki tangga kelima dengan 11 mata, satu mata di depan Jerudong FC yang sudah bermain tujuh kali.

Liga Super DST 2015 akan diteruskan lagi 7 September di Kompleks Sukan Tutong dengan perlawanan di antara MS PDB dan Wijaya FC, dan kemudiannya Lun Bawang lawan MS ABDB pada 8 September di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Popular posts from this blog

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

MD AQMAL SEES INDERA SC HOME

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL