INDERA BELASAH, HAPUS KEBAL NAJIP

Persaingan yang sepatutnya sengit berkesudahan Indera SC (hitam) membelasah Najip I-Team 7-0

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Indera SC bukan sekadar memberikan Najip I-Team kekalahan pertamanya dari lima perlawanan pertamanya dalam Liga Super DST 2015 tetapi turut membelasahnya 7-0, sekali gus merampas takhta liga tatkala masih memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding pesaingnya itu.

Perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) yang dinanti-nantikan oleh para peminat bolasepak tempatan berkenaan sehingga dilabel sebagai perlawanan penentuan juara Liga Super DST 2015 itu jelas jauh daripada jangkaan sekali gus menghampakan para penyokong Najip I-Team.

Kedua-dua pasukan hadir tanpa kalah namun status itu nampak sudah menghilang dari Najip I-Team setelah Indera SC berjaya membolosi gawangnya sebanyak lima kali pada separuh masa pertama selain berjaya mengekang Najip I-Team dari menjaringkan gol.

Gol pertama Indera SC hadir pada minit ke-11 dijaringkan oleh Sahrin Momin, disusuli dengan jaringan kedua oleh Muhd Alif Haji Mahdini pada minit ke-23 dan kemudiannya Sam Prank menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-32.

Empat minit berselang kedudukan berubah menjadi 4-0 setelah Hamizan Aziz Sulaiman turut mencatatkan namanya dalam senarai penjaring, dan seminit dalam masa kecederaan giliran Mohd Asri Haji Aspar pula menyumbangkan gol buat Indera SC.

Mohd Afi Aminuddin menyukarkan lagi peluang Najip I-Team dari bangkit apabila segera menambah jaringan menjadi 6-0 hanya tiga minit selepas perlawanan dimulakan semula selepas rehat.

Sahrin Momin menjadi satu-satunya pemain yang menjaringkan lebih dari satu gol dalam saingan berat sebelah berkenaan apabila berjaya meledakkan jaringan ketujuh Indera SC pada minit ke-70.


Dengan tambahan tiga mata berkenaan, Indera SC kini mengumpul 12 mata maksimum di puncak liga, menyamai kutipan mata Najip I-Team di bawahnya, namun 19 jaringan dan sekali bolos melayakkanya berada di atas kerana Najip I-Team hanya mencatat 12 jaringan dan sembilan bolos, di samping sudah bermain lima kali.

Popular posts from this blog

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

MD AQMAL SEES INDERA SC HOME

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL