NAJIP FC MARA KE FINAL

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Najip FC mencipta sejarah dengan mara buat pertama kalinya ke perlawanan akhir Piala FA DST menerusi catatan bersejarah menewaskan pasukan yang belum pernah ditewaskannya mahupun seri sebelum ini, Indera SC dengan jaringan 2-1 pada perlawanan separuh akhir Piala FA DST-NFABD 2014 malam tadi.

Kemenangannya pada perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu sekaligus mempertemukannya dengan juara bertahan Piala FA DST, MS ABDB di perlawanan akhir nanti, yang akan berlangsung pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Najip FC membolosi Indera SC dua kali di separuh masa pertama, di antara gol tunggal Indera SC, dan kemudiannya melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan pasukan-pasukan lain di sepanjang Liga Super dan Piala FA musim ini: menggagalkan Indera SC menjaringkan gol di separuh masa kedua, untuk memastikan kemaraannya.

Ketika kemenangannya, 2-1 ke atas LLRC FT semasa suku akhir memerlukan gol lewat masa kecederaan babak kedua, kemenangannya, 2-1 ke atas Indera SC malam tadi agak berbeza, dengan ancaman-ancaman bahaya yang boleh saja membawanya mendahului 3-0 sebelum dibolosi Indera SC pada minit ke-37.

Md Azri bin Zahari memacu Najip FC ke depan 1-0 pada minit ke-12 apabila mendahului Muhammad Fakhrul Zulhazmi bin Yussof yang meluru keluar dari gawangnya dalam perlumbaan mendapatkan bola dengan sentuhan hujung kaki yang terus melintasi Muhammad Fakhrul dan menerjah gawang Indera SC.


Md Azri (kanan) mendahului Md Fakhrul (kiri) bagi menjaringkan gol pertama Najip FC pada minit ke-12.

Awal sebelum jaringan berkenaan Najip FC boleh saja mendahului 1-0 apabila Md Aminuddin Zakwan bin Md Tahir yang mendapati dirinya hanya berdepan dengan Muhammad Fakhrul tetapi pada kedudukan agak ke kiri dari gawang meledakkan bola kencang ke sudut atas kiri gawang namun Muhammad Fakhrul berjaya menepisnya keluar.

Di pertengahan babak pertama, Md Azri pula berdepan dengan Muhammad Fakhrul, namun dalam kegopohannya, Md Azri menendang leret bola melepasi tiang kanan gawang Indera SC tatkala Muhammad Fakhrul sudah tertewas.

Sebaliknya, Indera SC yang mula mengawal perlawanan selepas dibolosi Najip FC pula mendapatkan gol penyamaannya pada minit ke-37 menerusi tendangan sentuhan pertama Md Asri bin Haji Aspar dari hantaran tinggi rakannya ke dalam Petak D Najip FC, setelah dia berjaya meloloskan dirinya dari perangkap ofsaid Najip FC.

Walau bagaimanapun kegembiraan terakhir sebelum rehat dikecapi Najip FC setelah Md Hanif @ Abdul Hadi bin Hamir meledakkan tendangan kencang kaki kiri dari sebelah kanan Petak D Indera SC menuju ke sudut atas gawang melangkaui tangan Muhammad Fakhrul yang melompat pada minit ke-45.

Ketika separuh masa kedua dijangka akan menyaksikan lebih banyak gol dijaringkan kedua-dua pasukan, perkara sebaliknya pula berlaku dengan tiada lagi tambahan gol sekaligus menjadikan keputusan separuh masa pertama sebagai keputusan muktamad perlawanan.

MS ABDB yang sudah mara sehari lebih awal melalui kemenangannya, 3-1 ke atas QAF FC adalah pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraannya jika melihat kembali rekod pertemuannya dengan Najip FC tahun ini dalam kancah Liga Super DST yang memihaknya dengan kemenangan 2-1 pada 15 April 2014 dan 2-0 pada 3 September 2014.

Walau bagaimanapun peluang Najip FC untuk bergelar juara tidak dapat diperkecilkan selepas kejayaannya menjinakkan juara Liga Super DST, Indera SC yang sebelum ini menewaskannya dua kali iaitu 2-0 pada 29 April 2014 dan 5-1 pada 7 September 2014.

Popular posts from this blog

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

MD AQMAL SEES INDERA SC HOME

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL