INDERA SC CEMAS

oleh HASRULRAIZAN

Pasukan bukan liga, Menglait FC memberikan persaingan sengit kepada juara Liga Super DST 2014, Indera SC dalam pusingan keempat Piala FA DST-NFABD 2014 malam tadi sebelum terpaksa akur tewas 2-4.

Menglait FC dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Indera SC di separuh masa pertama namun tiada apa yang dapat mereka lakukan kepada pasukan pakar separuh masa kedua berkenaan selepas perlawanan dimulakan semula selepas rehat.

Hamizan Aziz (kanan) ketika menjaringkan gol pertamanya ketika menentang Menglait FC
 pada peringkat 16 terakhir Piala FA DST.
Namun tiada siapa menjangka Menglait FC mampu menyaingi kehebatan juara Liga Super DST dua musim berturut-turut lebih-lebih lagi apabila ia sudah ketinggalan 0-1 seawal minit ke-12 menerusi jaringan penyerang prolifik Indera SC, Hamizan Aziz bin Sulaiman.

Indera SC sudah sepatutnya mendahului 2-0 tetapi pemain jersi No.7 yang hanya berdepan dengan penjaga gol Menglait FC dalam situasi satu lawan satu gagal memanfaatkan peluang itu, sebaliknya Menglait FC pula mendapat tuah apabila memperoleh gol penyamaan pada minit ke-15 hasil jaringan Awangku Md Nurhidayat bin Pengiran Haji Ali.

Sahrin bin Momin kemudiannya mengembalikan pendahuluan satu gol Indera SC pada minit ke-27, hanya untuk dipadamkan semula oleh Awangku Md Nurhidayat dengan gol kedua peribadi dan pasukannya selang dua minit kemudian.

Separuh masa kedua bermula dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 namun kedudukan segera berubah memihak kepada Indera SC pada minit ke-58, sekali lagi hasil jaringan Hamizan Aziz untuk gol kedua peribadinya malam tadi.

Ketua pasukan skuad Trofi Hassanal Bolkiah (HBT) 2014 Negara Brunei Darussalam, Md Nur Ikhwan bin Othman kemudiannya menambah selesa pendahuluan Indera SC pada minit ke-68 untuk merubah kedudukan kepada 4-2, yang nyatanya menjadi keputusan muktamad perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Indera SC membuat janji temu dengan pasukan Liga Super, Wijaya FC di peringkat suku akhir Piala FA DST-NFABD 2014 pada 21 Disember nanti. Wijaya FC sudah awal mara hasil kemenangan 4-1 ke atas pasukan Liga Perdana, Perkasa FC pada 9 Disember lalu.

Popular posts from this blog

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

MD AQMAL SEES INDERA SC HOME

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL