RENTAK INDERA TIDAK TERJEJAS

OLEH HASRULRAIZAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Walaupun beraksi dengan 10 pemain lebih 60 minit malam tadi, Indera SC berjaya mengukuhkan kedudukannya di persada Liga Super DST-NFABD dengan kemenangan 2-0 ke atas Najip FC di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Apabila penjaga gol utamanya, Md Fakrul Zulhamzi bin Yussof dilayangkan kad merah pada minit ke-29 kerana menjatuhkan lawan di luar kotak, rekod tanpa kalah Indera SC nampak goyah.


Md Khayrun (kiri) meraikan gol kedua Indera SC jaringan Hamizan Aziz (dua kiri) dalam kemenangan 2-0 ke atas Najip FC.

Namun, kekurangan pemain tidak merubah rentak Indera SC apabila lebih banyak melakukan serangan bahaya menggunakan kreativiti dan kepantasan para pemainnya sehingga ia pula mendahului pada minit ke-42 menerusi jaringan Md Khayrun bin Salleh.
Memulakan separuh masa kedua dengan pendahuluan 1-0, Indera SC masih terus ghairah mencari gol dengan lebih banyak melakukan hantaran jarak jauh bersumber dari Noor Raimi bin Karim @ Syahremy terutama kepada Abang Nor Sillmy bin Abang Haji Taha. Indera SC melakukan serangan balas pantas yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-69 menerusi Hamizan Aziz bin Sulaiman.

Selang dua minit, Najip FC hampir mencantas pendahuluan Indera SC kepada satu gol saja tetapi tiang kanan Indera SC menjadi penyelamat kepada tandukan Abang Nor Sillmy dari sepakan sudut kiri, yang dilihat sudah menewaskan penjaga gol gantian Indera SC, Md Norul Zulhilmi bin Mustapa.

Pada minit keempat masa kecederaan, Najip FC boleh berpuas hati meraikan gol sagu hati apabila dihadiahkan sepakan penalti akibat kekasaran ke atas Md Azri bin Zahari, namun Abang Nor Sillmy sekadar menyaksikan tendangannya melepasi tiang kiri Indera SC menyebabkan kedudukan kekal 2-0.

Kemenangan perlawanan kesembilannya itu membawa Indera SC lima mata di depan pencabar terdekatnya, MS ABDB dan MS PDB, yang masing-masing mengumpul 18 mata, bezanya MS ABDB baru bermain sembilan kali manakala MS PDB sudah 10 kali, manakala Najip FC kekal di tangga keempat dengan 16 mata selepas sembilan permainan.

Perlawanan Indera SC seterusnya menentang Kilanas FC pada 4 Mei ini di Padang & Balapan, KSNHB, bermula jam 8:15 malam, sementara lawan berikutnya bagi Najip FC ialah QAF FC pada 6 Mei, juga di Padang & Balapan, KSNHB, bermula jam 8:15 malam.

Aksi Liga Super DST-NFABD seterusnya ialah pada 2 Mei ini di Kompleks Sukan Tutong di antara LLRC FT dengan Wijaya FC, juga bermula jam 8:15 malam.

Popular posts from this blog

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

INDERA, TABUAN MUDA REPLAY CONFIRMED