KILANAS CEMASKAN INDERA
Hamizan Aziz menjaringkan gol pencetus semangat Indera SC
pada minit
ke-52 dalam kemenangan 4-3 Indera SC ke atas
Kilanas FC, semalam.
|
OLEH
HASRULRAIZAN
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Percaturan taktik berkesan pada
separuh masa kedua menyelamatkan maruah Indera SC selepas sikap memandang
rendah lawan pada babak pertama mengundang padah apabila Kilanas FC berjaya
merobek gawangnya tiga kali untuk selesa menamatkan babak pertama dengan
pendahuluan 3-0.
Kebangkitan menarik Indera SC dengan catatan purata sebiji gol
setiap sepuluh minit pada babak kedua membuatkan Kilanas FC berputih mata dari
mencatatkan kemenangan bersejarah ke atas pendahulu Liga Super DST-NFABD itu
sekali gus memberikan kekalahan pertamanya musim ini, sebaliknya Kilanas FC
terlepas apa yang sudah dalam genggaman.
Lebih mengujakan lagi, perlawanan di Padang & Balapan,
Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu sudah nampak memihak kepada
Kilanas FC apabila dua beradik Abang Hazim bin Abang Hadzman dan Abang Hariz
bin Abang Hadzman sudah membawa Kilanas FC ke depan mendahului 2-0 selepas 13
minit.
Abang Hazim mencipta gol pertama Kilanas FC pada minit kesembilan,
manakala abangnya, Abang Hariz mencetak golnya minit ke-13, dan tatkala separuh
masa pertama dijangka berakhir dengan 2-0, Abang Hazim masih sempat
menjaringkan gol ketiga Kilanas FC.
Sejurus babak kedua bermula, Indera SC sudah menampakkan hasratnya
apabila tujuh minit selepas rehat sudah berhasil mengurangkan defisit
pendahuluan Kilanas FC kepada hanya dua gol menerusi jaringan Hamizan Aziz bin
Sulaiman.
Selang 11 minit kemudian kedudukan menjadi 2-3 selepas Md Asri bin
Aspar pula menemui sasarannya di gawang Kilanas FC, dan tepat sepuluh minit
selepas itu Md Asri menjaringkan gol lagi untuk mengikat kedudukan kepada 3-3,
tatkala perlawanan berbaki 17 minit.
Gol kemenangan Indera diledakkan oleh pemain muda berbakatnya yang
baru berusia 21 tahun iaitu Md Nur Ikwan bin Othman, pada minit ke-82
perlawanan bagi memberikan Indera SC tiga mata lagi untuk mengekalkan kejuaraan
Liga Super yang dimenanginya tahun lalu.
Kemenangan 4-3 ke atas Kilanas FC itu mengukuhkan lagi cengkaman
Indera SC di persada Liga Super dengan catatan 26 mata daripada 10 perlawanan,
lapan mata di depan pencabar terdekatnya, MS ABDB dan MS PDB, masing-masing di
tangga kedua dan ketiga ketika ini.