MS ABDB UJI KEMAMPUAN INDERA

Khayrun Salleh (Jersi 8) merupakan harapan Indera SC dalam misi menewaskan MS ABDB.

OLEH HASRULRAIZAN 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Dengan kemenangan memberangsangkan 5-0 Sabtu lalu untuk merampas takhta Liga Super DST-NFABD dari Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB), kemampuan Indera SC akan teruji esok, apabila berdepan dengan MS ABDB di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Kemenangan ke atas MS ABDB boleh saja menjadi penentu utama ke arah kejayaan Indera SC mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dikecapinya musim lalu, manakala kekalahan mungkin saja berupaya meranapkan hasrat berkenaan.

Namun tugas pemain Indera SC pastinya tidak mudah kerana MS ABDB jelas sudah pulih dari kekalahan mengejut 0-1 kepada MS PDB sebulan yang lalu dengan catatan dua kemenangan bertenaga ke atas Jerudong FC (5-2) pada 18 Mac dan QAF FC (3-0) pada 29 Mac lalu untuk kembali menjadi pencabar kelompok tiga teratas.

Kemenangan ke atas Indera SC pula akan membolehkan MS ABDB mengumpul 15 mata, sama dengan MS PDB, tetapi berbekalkan jaringan yang lebih tinggi (21 gol) pada masa ini berbanding hanya 10 gol (MS PDB), MS ABDB akan menggantikan MS PDB di tangga kedua Liga Super berkenaan.

Bukan itu saja, kemenangan juga merapatkannya hanya 1 mata di belakang Indera SC, dengan jumlah permainan yang sama iaitu 7 kali, maka perlawanan esok (Sabtu) adalah sangat penting bagi kedua-dua buah pasukan, ke arah mempertingkat reputasi masing-masing sebagai juara Liga Super yang layak.

Lebih penting lagi, pencabar utama kejuaraan musim ini, MS PDB juga akan bermain esok (Sabtu) menentang pasukan di tangga ketujuh dari sepuluh pasukan dalam Liga Super, Wijaya FC di Kompleks Sukan Berakas, dan di atas kertas, dilihat tidak mempunyai masalah untuk menang dan mengutip 3 mata penuh.


Maka ia akan menjadi situasi yang menarik jika MS PDB menang, MS ABDB menang dan Indera SC kalah, kedudukan pasti berubah dengan MS PDB di puncak Liga Super dengan 18 mata, Indera SC di tangga kedua dengan 16 mata dan MS ABDB di tempat ketiga dengan 15 mata. Kedua-dua perlawanan esok (Sabtu) bermula jam 8:15 malam.

Popular posts from this blog

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

INDERA, TABUAN MUDA REPLAY CONFIRMED