INDERA SC TUNDUKKAN MS PDB
Abdul Mu’is dari Indera SC mengawal bola
dalam satu aksi Liga Super. Beliau berjaya
meletakkan pasukannya di depan
dengan jaringan pada minit ke-13.
|
OLEH HASRULRAIZAN
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Indera SC kekal
dalam laluan mempertahankan kejuaraan Liga Super DST-NFABD apabila menundukkan
pesaingnya Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) dengan jaringan 2-0
malam tadi.
Dengan satu gol setiap separuh masa sudah cukup
untuk Indera SC terus mengekalkan kecemerlangan musim ini walaupun hanya seri
1-1 dengan QAF FC pada 9 Februari lalu.
Perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks
Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berlangsung sengit dengan kedua-dua
pasukan bersaing mengawal bahagian tengah padang sambil sekali sekala melakukan
serangan pantas.
Berdasarkan corak serangan kedua-dua pasukan,
jaringan adalah sesuatu yang pasti dan hanya menanti saat untuk berlaku, yang
akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-13, apabila Indera SC membuka jaringan
menerusi Abdul Mu’is Sisa yang bermain di sayap kiri.
MS PDB menggandakan usaha bagi mendapatkan
penyamaan tetapi Indera SC juga masih menambah serangan bagi mendapatkan gol,
namun keputusan separuh masa pertama kekal 1-0.
Pada babak kedua, kedua-dua pasukan meneruskan
persaingan sehingga pertahanan MS PDB melakukan kesilapan menyebabkan Indera SC
dihadiahkan sepakan penalti ketika separuh masa kedua baru berlangsung tiga
minit.
Md Zulkhairy Razali mengambil sepakan dan menyempurnakannya
dengan baik sekali bagi memberikan Indera SC ruang bernafas mendahului dua gol
dengan jaringan 2-0.
Jaringan itu menjadi gol terakhir perlawanan
bagi memberikan Indera SC tiga mata penuh untuk meneruskan perjuangannya
mencapai kejuaraan, namun keputusan itu belum cukup untuknya menjatuhkan MS PDB
dari takhta liga kerana MS PDB yang sudah bermain tujuh perlawanan dan menang
lima berjaya mengumpul 15 mata.
Namun ia cukup untuknya menduduki tangga
ketiga, di belakang Najip FC yang seri 2-2 dengan Jerudong FC malam tadi di
Kompleks Sukan Berakas, sekali gus memintas MS ABDB yang mengumpul 12 mata
selepas enam perlawanan menyebabkan MS ABDB merosot dari tangga keempat ke
tangga kedua.