PASUKAN INDERA SPORTS CLUB (SC) MENANG TIPIS
ANTARA aksi MS ABDB dan Indera SC dalam Kejohanan Bolasepak Jemputan 6 Penjuru. (Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor) |
OLEH ABU BAKAR HJ ABD RAHMAN
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Ogos. - Pasukan Indera Sport Club (SC) berjaya
menyingkap tirai Kejohanan Bolasepak Jemputan 6 Penjuru 2013 selepas menang
tipis ke atas pasukan MS ABDB dalam perlawanan pertama Kumpulan ‘A’ yang
diadakan di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas,
di sini.
Jaringan kemenangan pasukan Indera SC diperolehi pada minit ke-68 menerusi
tandukan Reduan Haji Petara yang memanfaatkan ketinggiannya selepas menyambut
baik hantaran tinggi dari sudut kiri oleh Md. Nazirul Nazreen.
Awalnya, pada separuh masa pertama kedua-dua pasukan gagal memperolehi sebarang
jaringan walaupun beberapa percubaan berjaya dilakukan.
Pasukan tentera yang cuba melancarkan serangan dari berbagai sudut awalnya
hampir mendahului kedudukan apabila percubaan Sld. Affendy pada minit ke-67
sedikit tersasar selepas menerima hantaran Sld. Budiman.
Namun lapan minit kemudian pasukan MS ABDB mengulangi percubaannya setelah
hantaran lintang Sld. Budiman dari sebelah kiri ke kanan yang mencari rakan
sepasukannya Sld. Md. Baharin gagal membuat penyudah yang sempurna sekalipun
berusaha dengan semaksimanya.
Sebaliknya masa tambahan tiga minit hampir dimanfaatkan oleh pasukan Indera SC
setelah sepakan kencang Md. Aqmal Hakeem hanya melintasi palang gol pasukan MS
ABDB.
Dalam perlawanan pertama dalam Kumpulan ‘B’ pula pasukan LLRC FT brjaya
menumpaskan pasukan MS Polis dengan jaringan 4-0.
Jaringan yang dihasilkan oleh Safuan Juhar pada minit ke-30 diikuti oleh Ak. Md.
Haikal pada minit 70.
Seminit selepas itu pasukan LLRC FT menjaringkan gol ketiga menerusi Md.
Fakhrullah dan Ak. Md. Haikal menjaringkan gol keempat dua minit selepas itu.
Kejohanan jemputan yang julung-julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Jabatan
Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei
Darussalam (NFABD).
Pada kejohanan ini sebanyak enam buah pasukan menyertainya yang terdiri dari
pasukan MS ABDB, Indera SC, Under 23 (SEA GAMES), MS Polis, LLRC FT dan Under 19
(NFABD).
Kejohanan antara lain bertujuan untuk membantu pasukan kebangsaan U23 yang akan
menyertai Sukan SEA 2013 kepada suasana perlawanan bola sepak dalam negeri yang
lebih berdaya saing setelah menjalani latihan sejak April lepas.