INDERA SC PESTA GOL

Perebutan bola di udara antara pemain Indera SC 
dengan LLRC FT di kawasan Indera SC 
untuk perlawanan Liga Super DST semalam.
OLEH HASRULRAIZAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan - Indera SC memusnahkan impian LLRC FT untuk menang kali ketiga berturut-turut dalam kancah Liga Super DST-Brunei 2012/2013 apabila bukan saja mengalahkan tetapi membelasah pasukan dari Daerah Belait berkenaan dengan jaringan 5-1, sekaligus mengganti pasukan itu di puncak Liga.

LLRC FT tidak menduga mereka akan dimalukan sedemikian rupa di Minggu Ketiga Liga berkenaan, lebih-lebih lagi mereka kelihatan lebih menguasai permainan di 15 minit pertama separuh masa pertama sekalipun dikejutkan dengan jaringan awal Indera SC di minit pertama perlawanan menerusi jaringan Mohammad Azwan Abdul Rahman.

Selepas menggegar palang atas gawang Indera SC menerusi sepakan percuma, LLRC FT akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-15 melalui rembatan mudah Md Amirul Jafrey Mohd Norshaney di depan pintu gawang Indera SC yang terbuka luas, selepas mendapat hantaran silang dari rakannya di sebelah sayap kanan.

Walaubagaimanapun, pada perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, kesilapan pertahanan LLRC FT di dalam petak D pasukannya sendiri pada minit ke-23 membuka ruang untuk Mohammad Azwan meledakkan sepakan kencang ke gawang LLRC FT dari jarak dekat bagi mengembalikan pendahuluan satu gol Indera SC.

Ia menjadi malam gemilang buat pemain Tebuan Muda yang menjuarai HBT yang lalu iaitu Mohammad Azwan apabila beliau melengkapkan jaringan hatriknya seminit sebelum masa perlawanan berakhir, bagi membawa pasukannya selesa mendahului 3-1 usai babak pertama ditamatkan.

LLRC FT sedar mereka perlu menyerang lebih agresif di babak kedua untuk mengejar Indera SC bagi mengurangkan defisit ketinggalan dua gol, namun sebaliknya Indera SC pula yang berjaya menjaringkan gol selang tiga minit separuh masa kedua dimulakan, bagi menjadikan kedudukan 4-1.

Tatkala 4-1 sudah cukup untuk mereka memungut mata penuh malam ini, sekaligus memintas LLRC FT di puncak Liga berkenaan dari kedudukan kelima sebelum kemenangan malam ini, Indera SC masih sempat menjaringkan gol kelima pada minit ke-84 menerusi jaringan Muhd Nur Ikwan Othman.

Popular posts from this blog

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

INDERA, TABUAN MUDA REPLAY CONFIRMED