INDERA JUARA PIALA SUMBANGSIH DST

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Indera SC berada pada landasan yang tepat untuk memastikan pokok pisangnya akan berbuah tiga kali iaitu catatan hatrik menjuarai Liga Super DST apabila melucutkan MS ABDB dari gelaran “Juara” Piala Sumbangsih DST yang dimenanginya musim lalu setelah menewaskan pemenang Piala FA DST dua musim berturut-turut itu dengan jaringan 2-0 malam tadi.

Juara Liga Super DST dua musim berturut-turut berkenaan buat pertama kalinya menjulang Piala Sumbangsih DST setelah kempunan musim lalu (2014) akibat tewas 1-2 kepada pasukan yang sama, MS ABDB.

Perlawanan pembuka tirai Liga Super DST 2015 dan Liga Perdana DST 2015 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan dimuktamadkan dengan dua gol pantas Indera SC pada lapan minit pertama separuh masa kedua.


Pada ketika babak pertama berakhir tanpa jaringan, Indera SC memasukkan Awangku Mohamad Haikal Pengiran Zaidi dan mengeluarkan Muhd Nur Ikwan Othman yang cedera untuk memperkuat barisan tengahnya dan perubahan itu memberikan impak segera menerusi jaringan Sam Prank ketika babak kedua baru bermula tiga minit.

Hujan lebat tidak menghalang Indera SC dari meraikan kejayaan menjulang Piala 
Sumbangsih DST 2015 setelah menang 2-0 ke atas MS ABDB.

Awang Suhaimi (tengah) menyerahkan Piala Pusingan Piala Sumbangsih kepada Pengurus 
Ketua Pasukan Indera SC sambil diiringi Ketua Jurulatih (kiri) dan Timbalan Kapten (kanan).

Ketua Jurulatih Indera SC, Haji Omar Haji Jamil menjelaskan kepada Media Permata bahawa beliau membuat pertukaran itu memandangkan MS ABDB mengambil peluang sepenuhnya ataskecederaan Muhd Nur Ikwan untuk mengawal bahagian tengah di babak pertama.

MS ABDB kemudiannya dikejutkan dengan jaringan Hamizan Aziz Sulaiman, hanya lima minit selepas ledakan gol pertama untuk membawa Indera SC selesa mendahului 2-0 sambil terus menguasai kawasan tengah dan melakukan serangan-serangan pantas menggunakan laluan tengah dengan hantaran-hantaran tembus ke depan yang bahaya.

Haji Omar menjelaskan perlawanan adalah seimbang namun para pemainnya berjaya memanfaatkan dua peluang keemasan akibat kesilapan pemain MS ABDB di awal babak kedua yang nyatanya sudah cukup untuk Indera SC menjulang Piala Sumbangsih DST 2015 walau pasukannya sepatutnya boleh mendahului 5-0.

Menurutnya selepas mendahului 2-0, pasukannya berubah formasi dari 4-4-2 kepada 4-5-1 untuk bermain lebih menutup bahagian tengah dan mengurangkan bermain di bahagian sayap bagi menyukarkan MS ABDB melakukan serangan dan menembusi pertahanan pasukannya.

Mohammad Asri Haji Aspar boleh saja menambah gol Indera SC lima minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat ketika berdepan 1-Lawan-1 dengan penjaga gol MS ABDB, Soldadu Mohd Tarmizi Haji Mat Johari, namun saat ingin menendang bola beliau tergelincir bagi memudahkan Soldadu Mohd Tarmizi mengutip bola di depannya.

Hadir menonton perlawanan antara Juara Liga Super DST 2014, Indera SC dengan Juara Piala FA DST 2014, MS ABDB berkenaan dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DST, Suhaimi Hussain. Piala Sumbangsih DST 2015 merupakan perlawanan pembuka tirai musim baru liga bolasepak kebangsaan: Liga Super DST 2015 dan Liga Perdana DST 2015 anjuran NFABD.

Popular posts from this blog

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

MD AQMAL SEES INDERA SC HOME

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL