INDERA SC JUARA LIGA SUPER
Hamizan Aziz ketika menjaringkan
hatrik dan gol ketujuh Indera SC ketika menang 7-1 ke atas QAF FC untuk
muncul
juara Liga Super 2014.
|
BANDAR SERI BEGAWAN 3
Sept. – Tujuh gol pada babak pertama dan hanya satu gol pada babak kedua dalam
perlawanan antara Indera SC dengan QAF FC semalam membuka semula persaingan
Liga Super DST-NFABD yang terhenti lebih dua bulan, sekali gus mengesahkan
Indera SC sebagai juara ketika masih ada baki dua perlawanan.
Ketua Pasukan HBT 2014
Brunei Darussalam, Md Nur Ikwan bin Othman membuka jaringan Indera SC pada
minit kesembilan, yang tiga minit kemudian pantas berubah menjadi 2-0 apabila
Abdul Khair bin Haji Basri pula meledakkan bola ke gawang QAF FC.
QAF FC tidak menunggu
lama untuk merapatkan jurang apabila Hardi Anak Bujang menghasilkan gol tunggal
QAF FC pada minit ke-15 bagi merubah kedudukan kepada 1-2.
Ketika QAF FC dijangka
bangkit untuk menyamakan kedudukan, Indera SC yang hanya memerlukan seri dalam
perlawanan ke-14nya musim ini terus menyerang sehingga mencatatkan gol ketiga
pada minit ke-22 menerusi jaringan Md Khayrun bin Salleh.
Gol Khayrun seolah-olah
menjadi pembuka pintu gawang QAF FC apabila Indera SC menyumbat tiga gol lagi
menerusi dua jaringan Hamizan Aziz bin Sulaiman pada minit ke-30 dan ke-34,
sebelum babak pertama ditutup dengan jaringan 6-1 oleh pemain pertahanan HBT201
Brunei Darussalam, Reduan bin Haji Petara.
Separuh masa kedua
berlangsung lebih sengit dengan QAF FC lebih agresif menyerang sehingga
beberapa kali berjaya menerobos kawasan bahaya namun kegagalan memanfaatkan
peluang menceritakan nasib tidak baik QAF FC semalam.
Tiada gol lagi terhasil
dalam tempoh 45 minit separuh masa kedua, dan ketika perlawanan dijangka
selesai dengan jaringan 6-1, Hamizan Aziz melengkapkan hatrik pada masa
kecederaan dan itulah yang berjaya dilakukannya secara solo dengan lariannya
dari sayap kanan sebelum mematah bola ke kirinya melepaskan diri dari Mushready
bin Chuchu.
Hamizan Aziz
kemudiannya melepaskan diri dari Saiful Arizal bin Haji Ishak yang melakukan
bentesan untuk memasuki kotak QAF FC dengan mematah bola ke kanan sebelum
melakukan ‘dummy’ rembatan kaki kanan yang dipatahnya semula ke kiri untuk
melakukan rembatan kencang kaki kiri menuju sebelah kiri bawah gawang QAF FC
yang berjaya ditepis Junaidi bin Akim tetapi bola tetap menerjah gawang.
Dengan ini, QAF FC
menamatkan musim ini dengan 17 mata untuk menduduki tangga keenam, tiga mata di
depan pasukan di tangga ketujuh Wijaya FC
yang dibelasahnya 8-0 pada 25 Jun lalu.
Indera SC yang masih
ada baki dua perlawanan iaitu menentang pasukan tangga ketiga, Najip FC (7
September) dan MS ABDB (13 September), kini mengumpul 40 mata, sembilan mata di
depan MS ABDB (31 mata) di tempat kedua, yang juga masih mempunyai baki dua perlawanan
termasuk menentang Najip FC petang ini.
Dengan mata maksimum
yang mampu dicapai MS ABDB adalah 6 mata bagi mengumpul setinggi-tingginya 37
mata, maka kemenangan malam ini sudah menghadiahkan kejuaraan Liga Super kepada
Indera SC.