INDERA SC KEKALKAN REKOD TANPA KALAH

oleh HASRULRAIZAN

TUTONG, 17 Mac - Indera SC terus memberikan tekanan kepada dua pasukan teratas Liga Super DST-NFABD 2014, Najip FC dan Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) apabila kekal tanpa kalah malam ini setelah memberikan LLRC FT kekalahan pertamanya dalam kempen dengan jaringan 3-0.

Walaupun mendominasi perlawanan dari awal lagi dengan LLRC FT hanya sesekali melakukan serangan balas, Indera SC hanya berjaya membolosi gawang LLRC pada minit ke-40 menerusi Md Asri Haji Aspar dari luar kotak yang menggegar sudut kanan sebelah atas gawang LLRC tanpa dapat dijangkau Firman Taufik Nugraha.

Md Asri meraikan golnya untuk membawa pasukannya Indera SC 
mendahului LLRC FT pada separuh masa pertama.
LLRC berpeluang menyamakan kedudukan dua minit kemudian apabila bola yang ditendang tinggi masuk ke dalam kawasan kotak Indera SC, gagal ditumbuk keluar oleh penjaga gawang Indera SC, Md Fakrul Zulhamzi Yussof yang menyaksikan bola melepasi kepalan tangannya walaupun sudah melompat tinggi tetapi gagal dimanfaatkan penyerang LLRC FT, Safuan Juhar di belakangnya.

Pada kedua, percaturan ketua jurulatih Indera SC untuk membawa masuk Md Zulkhairy Razali memberikan ganjaran berganda apabila Md Zulkhairy bijak menggunakan dua peluang dalam tempoh empat minit untuk menjaringkan dua gol pada minit ke-73 dan ke-76 untuk membawa pasukannya mendahului 3-0.

LLRC yang sebelum ini bukan sahaja belum tewas bahkan mengejutkan dua pencabar musim ini iaitu mengalahkan MS ABDB 3-2 dan Najip 2-1 sebelum seri 2-2 dengan QAF FC, nampak gagal mengimbangi permainan Indera SC dan hanya lebih banyak bertahan dan terhad kepada melakukan hantaran tinggi dari jauh.

Kedudukan 3-0 pada perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu memberikan Indera SC tiga mata berharga bagi menghampiri Najip FC dan MS PDB di dua tangga teratas Liga, namun berbaki satu perlawanan berbanding kedua-duanya yang sudah melalui lima perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Indera SC kekal di tangga ketiga setelah mengumpul 10 mata dari empat perlawanan dengan tiga kemenangan dan satu seri, dua mata di belakang Najip FC dan MS PDB, yang kedua-duanya sudah menang empat kali dan mengalami kekalahan sekali.

LLRC FT pula kekal dengan 7 mata di tangga keempat, satu mata di depan MS ABDB dan tiga mata di belakang Indera SC.


Liga Super DST-NFABD diteruskan lagi esok dengan MS PDB menentang Kilanas FC di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), dan Jerudong FC lawan MS ABDB di Kompleks Sukan Berakas, kedua-duanya bermula jam 8:15 malam.

Popular posts from this blog

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

INDERA, TABUAN MUDA REPLAY CONFIRMED