INDERA, MS PDB KUTIP 3 MATA PENUH
Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB)
dan Indera SC masing-masing kembali menghuni tangga kedua dan ketiga Liga Super
DST-NFABD 2014 selepas menang dalam perlawanan masing-masing malam tadi.
MS PDB menang 2-0 ke atas Jerudong FC di Kompleks Sukan Berakas untuk
merampas semula tempat kedua yang sempat dihuni MS ABDB selama empat hari
selepas kemenangan 7-3 ke atas Wijaya FC pada 4 Mac lalu. MS ABDB kini menghuni
tangga keempat di belakang Indera SC.
Gol-gol MS PDB dijaringkan oleh Jasriman Haji Johari pada minit ke-9 dan
ketua pasukannya, Rosmini Haji Kahar pada minit pertama masa kecederaan.
Manakala Indera SC mengambil semula kedudukan ketiga dengan kemenangan 3-1 ke
atas Kilanas FC malam tadi di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal
Bolkiah (KSNHB), sekali gus menjatuhkan LLRC FT ke tangga kelima selepas empat
hari di kedudukan ketiga di belakang MS ABDB.
Antara aksi menarik Liga Super MS PDB menentang Jerudong FC di Kompleks
Sukan Berakas.
Separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat 1-1 dengan jaringan Indera
SC terhasil pada minit ke-29 disumbangkan oleh Md Zulkhairy Razali, manakala Md
Azimin Omar menjaringkan gol buat Kilanas FC pada minit ke-45. Dua lagi gol
Indera SC terhasil pada minit ke-72 (Md Zulkhairy) dan minit ke-83 (Md Nur Ikwan
Othman).
Walau bagaimanapun LLRC FT mempunyai kelebihan ke atas empat pasukan di
atasnya ketika ini kerana baru dua kali bermain tetapi memenangi kedua-duanya,
lebih menarik lagi ke atas dua pasukan di atasnya iaitu 3-2 ke atas MS ABDB dan
yang terbaru 2-1 ke atas Najip FC pada 3 Mac lalu.
Najip FC dan MS PDB masing-masing sudah melalui empat perlawanan dengan
catatan tiga kemenangan dan satu kekalahan, manakala Indera SC dan MS ABDB sudah
bermain tiga kali tetapi berbeza dengan Indera SC mencatat dua menang dan satu
seri, manakala MS ABDB mencatat dua menang dan satu kalah.
Dua keputusan malam tadi itu menjadikan kedudukan “separuh atas” selepas
minggu kelima Liga Super berkenaan tidak berubah berbanding minggu lalu, namun
kedudukan “separuh bawah” mengalami perubahan berikutan kemenangan pertama yang
dikecapi Majra United FC pada 4 Mac lalu iaitu kemenangan 2-1 ke atas QAF FC.
Kemenangan itu melonjakkan Majra United FC dari tangga kesembilan ke
tangga keenam dengan 3 mata, menurunkan Wijaya FC (juga 3 mata tetapi perbezaan
jaringan -4 berbanding -2 bagi Majra United FC) ke tangga ketujuh, QAF FC (2
mata) ke tangga kelapan dan Jerudong FC (1 mata) ke tangga kesembilan, manakala
Kilanas FC kekal di tangga terbawah tanpa sebarang mata.
Majra United FC, Wijaya FC, Jerudong FC dan Kilanas FC masing-masing sudah
bermain tiga kali manakala QAF FC sudah melalui empat perlawanan.
Esok (10 Mac), LLRC FT bertemu QAF FC di Kompleks Sukan Tutong, jam 8:15
malam, yang mungkin boleh melonjakkan LLRC FT ke puncak liga buat sementara jika
memenangi perlawanan dengan jarak empat jaringan.