KINGSTON TAJA PASUKAN FUTSAL

Pengarah Urusan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Malcolm
 Lim menyerahkan tajaan baju kepada pengerusi Indera SC Futsal.
Pengarah Urusan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Malcolm Lim
menyerahkan tajaan baju kepada Pengurus MS ABDB, Kapten (U) Awangku
Muhammad Mufid bin Pengiran Umar Ariffin.

Oleh MAHDI YASSIN

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei - Dalam usaha untuk meningkatkan taraf futsal di negara ini ke tahap antarabangsa, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd selaku pengedar sah produk minuman Red Bull di Negara Brunei Darussalam, merupakan penaja bersama bagi pasukan-pasukan tempatan yang akan menyertai Kejohanan Piala Red Bull Tri-Nations di Kuala Terengganu, Malaysia.

Dalam sidang media hari ini, Pengarah Urusan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Malcolm Lim menyatakan penajaan bersama bagi kejohanan yang akan berlangsung pada 14-15 Jun ini bertujuan untuk menggalakkan dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan peminat futsal di negara ini mengenai peluang meningkatkan dan membuktikan kemampuan masing-masing di luar negara.

Sehubungan itu, dua pasukan negara iaitu Indera SC Futsal dan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) terpilih menjadi wakil negara ini untuk merebut piala di Kejohanan Red Bull Tri-Nations dan mereka akan berhadapan dengan pasukan M.A.C. FC dan Gelombang FC dari Malaysia dan Mountbatten FC Team A dan B dari Singapura.

Awang Aminuddin Nasuha selaku pengurus bagi pasukan Indera SC berkata: "Bagi persediaan menghadapi perlawanan ini, kami mengadakan latihan sebanyak lima kali seminggu bersama pasukan kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan di samping itu kami juga mengadakan perlawanan bersama pasukan-pasukan lain di negara ini."

Sementara itu, Pengurus MS ABDB, Kapten (U) Awangku Muhammad Mufid bin Pengiran Umar Ariffin menjelaskan bahawa pasukan mereka sudah memulakan latihan dan persediaan bermula dua minggu yang lalu. Mereka juga mengadakan latihan sebanyak lima kali seminggu. Dalam latihan tersebut mereka memfokuskan kepada stamina, strategi dan taktik.

Indera SC Futsal muncul juara dalam Liga Juara-Juara Futsal NFABD Red Bull 2012 dengan menewaskan pasukan MS ABDB dalam perlawanan akhir.

Walaupun profil kelab ini belum popular, Indera SC Futsal akan berharap untuk meneruskan momentum pada kejohanan tersebut.

Kejohanan Piala Red Bull Tri-Nations adalah lanjutan daripada Red Bull Projek Futsal 5 (Malaysia) dan ia dimulakan dari peringkat universiti di Malaysia. Pada 2011, projek ini telah berkembang dan diperluaskan ke Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura. Perlawanan di Brunei dan Malaysia telah dianjurkan pada peringkat kebangsaan.

Kejohanan di Brunei adalah anjuran bersama oleh persatuan yang baru ditubuhkan iaitu Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (NFABD) yang diterajui oleh Presiden Kehormat iaitu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Bagi melancarkan dan mengemaskan perjalanan kedua-dua pasukan ke Kuala Terengganu, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd turut menyumbangkan keperluan perjalanan seperti pakaian sukan dan minuman Red Bull.

Popular posts from this blog

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

MD AQMAL SEES INDERA SC HOME

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL