INDERA JUARA LIGA SUPER
Para pemain Indera SC meraikan kejayaan sejurus selepas pengadil meniup wisel penamat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. |
BANDAR SERI BEGAWAN,
10 Mac - Indera SC mengesahkan kejuaraan Liga Super DST-Brunei 2012/2013
apabila menangi tipis 1-0 ke atas MS ABDB dalam perlawanan penutup tirai kempen
liga berkenaan bagi musim ini, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam ini.
Mohammad Azwan Ali
Rahman mencetak gol ke-16nya musim ini pada minit ke-82 perlawanan ketika
berjaya berlari memecah masuk kubu pertahanan MS ABDB bagi menerima hantaran
leret ke depan rakannya, Hamizan Aziz Sulaiman, untuk hanya berdepan dengan
Soldadu Mohd Tarmizi Haji Mat Johari di gawang MS ABDB.
Jaringan keramat itu
bukan saja memberikan MS ABDB kekalahan pertamanya dalam Liga Super DST-Brunei
2012/2013 ini tetapi turut menghadiahkan gelaran Juara Liga Super kepada Indera
SC.
Indera SC hanya
sekadar bertahan di babak pertama dengan format 4-5-1, yang diteruskan ke babak
kedua sehinggalah 20 minit terakhir perlawanan apabila berubah kepada 4-4-2,
yang nyatanya membuahkan hasil, walaupun jaringan gol hanya hadir lapan minit
sebelum berakhirnya perlawanan sengit berkenaan.
Mohammad Azwan boleh
saja mencetak gol ke-17nya musim ini menerusi tendangan terakhir perlawanan
iaitu tendangan percuma pada minit ke-4 masa kecederaan, betul-betul di depan
Petak D MS ABDB, namun bola tendangannya yang menuju jaring atas kanan gawang
MS ABDB berjaya ditepis keluar Soldadu Mohd Tarmizi
Liga Super
DST-Brunei 2012/2013 berakhir dengan Indera SC dan MS ABDB mengutip mata yang
sama, 22 mata, hasil daripada 7 kemenangan, 1 seri dan 1 kalah, namun Indera SC
mempunyai kelebihan perbezaan jaringan iaitu +33 (45 gol dan 12 bolos)
berbanding hanya +23 (30 gol dan 7 bolos) bagi MS ABDB.
Walaupun sudah sah
bergelar "Juara Pertama" Liga Super DST-Brunei, penyampaian Piala
Rebutan Liga Super DST-Brunei 2012/2013 belum lagi dilangsungkan. Majlis
Penyampaian Hadiah akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian
oleh pihak NFABD.