PASUKAN INDERA SC-QAF FC TERIKAT 2-2

OLEH ABU BAKAR HAJI ABDUL RAHMAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Disember. - Akibat benteng pertahanan yang longar menjadikan pasukan Indera SC akur apabila terikat dengan jaringan 2-2 sekali gus berkongsi mata dengan pasukan QAF FC dalam perlawanan sulung mereka pada Liga Super DST 2012/2013 di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Kelonggaran tersebut secara langsung menghukum pemain-pemain Indera SC bermain lebih agresif lagi untuk menyamakan kedudukan lebih-lebih lagi selepas tertinggal 2-1.

Mujur Md. Aqmal Hakeem berjaya menjaringkan gol penyamaan pada saat akhir perlawanan.

Menurut Ketua Jurulatih Pasukan Indera SC, Awang Ishak bin Haji Kabun, salah satu jaringan lawan berpunca dari pertahanan mereka yang sepatutnya 'merelease' bola lebih awal tapi bola dapat dirampas dan jaringan berjaya dilakukan.

"Memang separuh masa pertama kita bermain dengan baik tapi bermain baik pun tidak menjamin menang," ujarnya.

Katanya, pasukan mereka memperoleh banyak peluang namun bahagian serangan tidak mampu memanfaatkan keadaan, bagaimanapun dengan memasukkan tiga pemain gantian sedikit sebanyak merubah rentak permainan mereka.

Menurutnya para pemainnya juga masih merasa keletihan selepas beraksi di Kejohanan FA lepas.

SEBAHAGIAN daripada aksi perlawanan Liga DST Super League
2012-2013 di antara pasukan LLRC FC (jersi biru) bertemu dengan 
pasukan NAJIP FC (jersi kuning).
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)
Namun setidaknya pasukan Indera SC yang merupakan naib juara Liga FA yang lalu merasa lega seketika apabila berada di hadapan pada saat awal perlawanan dengan mendahului 1-0 hasil rembatan Muhd. Khayrun Salleh pada minit ke-11.

Serangan demi serangan yang dilakukan oleh pasukan Indera SC ini akhirnya terperangkap dengan serangan mengejut pasukan QAF FC selepas Petrus Jumat yang bergerak pantas dari tengah padang hingga mendekati ke petak 'D' berjaya menyamakan kedudukan dengan rembatan kencang yang sukar dikawal.

Pasukan QAF FC yang bagaikan mendapat semangat baru terus berusaha untuk menambah jaringan tetapi sebaliknya pasukan Indera SC pula bagaikan patah sayap.

Melihat keadaan ini pasukan QAF FC berjaya memanfaatkan peluang dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-78 menerusi Adie Arsham yang berjaya merampas bola dari pemain pertahanan Indera SC sebelum merembat masuk.

Tertekan dengan keadaan, pasukan Indera SC cuba bangkit pada saat akhir perlawanan dan mujur masa tambahan yang di berikan selama lima minit dimanfaatkan dengan cuba mengatur beberapa serangan bahaya bertubi-tubi sehingga akhirnya Md. Aqmal Hakeem berjaya menjaringkan gol penyamaan sekali gus memberikan pasukannya berkongsi satu mata.

Sementara itu dalam perlawanan kedua hari ini pasukan LLRC FC berjaya menumpaskan pasukan Najip FC dengan jaringan 7-5.

Safuan Juhar berjaya menyumbang lima gol untuk LLRC FC diikuti rakan sepasukannya Md. Hakeem Keri dua gol.

Manakala jaringan pasukan Najip FC masing-masing diperolehi menerusi gol bunuh diri pasukan LLRC FC, Md. Amirul Jafrey diikuti Md. Asril Kubu, Md. Ali Shopian dan dua jaringan diperolehi menerusi Huzaimi Haji Awang Tengah.

Popular posts from this blog

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

INDERA, TABUAN MUDA REPLAY CONFIRMED