INDERA SC JUARA FUTSAL


BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt - Indera SC mengesahkan statusnya sebagai "Pasukan Futsal Nombor Satu di Brunei Darussalam" apabila menjadi pasukan pertama mengalahkan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) sebanyak empat kali dalam Liga Juara-Juara Futsal Red Bull NFABD 2012 bagi memenangi perlawanan akhir petang ini dengan jaringan 4-2.

Apa yang lebih menarik lagi, perlawanan penentuan tempat ketiga antara Arbisyam FC dengan Kota Junior dalam perlawanan lebih awal petang ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu turut berkesudahan dengan jaringan yang sama, 4-2, berpihak kepada Arbisyam FC.

Walaupun tewas, MS ABDB, selain mengambil kedudukan kedua dalam Senarai Kedudukan Tidak Rasmi NFABD bagi Pasukan Futsal Negara Brunei Darussalam, mereka turut digembirakan dengan pengumuman bahawa penjaga gol nombor satunya, Awang Abu Yazid Haji Abu Samah adalah penerima Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Hadir menyaksikan perlawanan penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir berkenaan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada tiga pasukan terbaik liga berkenaan ialah Presiden NFABD, Dato Paduka Haji Abdul Rahman Haji Mohiddin dan Pengarah Urusan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd selaku Pengedar Red Bull Brunei, Malcolm Lim.

Penyampaian Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir kepada Awang Abu Yazid disempurnakan oleh Setiausaha Agung merangkap Pengarah Teknikal NFABD, Awang Mohd Noor Haji Abdullah.

Perlawanan akhir bermula cemerlang buat Indera SC apabila berjaya mendahului 1-0 seawal minit ke-3 menerusi rembatan Awangku Md Naqib, dan jaringan kedua Indera SC hasil tendangan Awang Md Amirulizam empat minit kemudian seolah-oleh membayangkan petang yang selesa buat Indera SC.

Walaupun lebih banyak mengawal bahagian tengah gelanggang dalam tujuh minit pertama, MS ABDB gagal mencipta peluang untuk sekurang-kurangnya membuat percubaan tepat ke gawang Indera SC, tetapi sebaliknya Indera SC yang sesekali melancarkan serangan balas pantas pula berhasil menjaringkan dua gol.

Mengetahui taktik awalnya kurang berkesan, jurulatih MS ABDB merubah taktik permainan pasukannya dengan memasukkan pemain bernafas baru, dan perubahan itu ternyata membuahkan hasil apabila Awang Md Zairul Hazmin berjaya melepaskan tendangan kencang kaki kiri betul-betul di atas garis Petak 'D' Indera SC bagi gol pertama MS ABDB pada minit ke-10.

Awang Md Zairul Hazmin sekali lagi memperlihatkan kehebatan kemahiran individunya apabila memusingkan badannya 180 darjah di dalam Petak 'D' Indera SC selepas menerima hantaran cantik dari rakan pasukannya, bagi sekali lagi merembat kencang untuk gol kedua peribadi dan pasukannya, sekali gus menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-17, dan kedudukan itu kekal sehingga babak pertama berakhir.

Pada separuh masa kedua menjadi semakin sengit dengan serangan berganti-ganti, berbalas-balas cubaan ke gawang lawan, sehingga menyebabkan kedua-dua penjaga gol terpaksa bekerja keras menepis cubaan demi cubaan ke arah gawang mereka masing-masing.

Tatkala perlawanan seolah-olah akan berakhir seri, Awang Md Amirulizam yang baru dimasukkan seminit, berjaya menyusup masuk ke kawasan bahaya MS ABDB dan berjaya menggegar gawang MS ABDB dari sudut sukar pada minit ke-32, bagi membawa pasukannya sekali lagi menerajui perlawanan akhir itu, dengan jaringan 3-2.

Selang tiga minit kemudian, Indera SC sekali lagi memiliki kelebihan dua gol apabila tidak semena-mena Awang Md Faiz yang menerima hantaran rayap dari sayap kanan mudah melorongkan bola masuk ke gawang MS ABDB yang tidak dikawal penjaga gawangnya lagi selain seorang pemain pertahanannya, bagi kedudukan 4-2.

Seminit kemudian MS ABDB berpeluang merapatkan jurang apabila dihadiahkan tendangan penalti 10 meter setelah Indera SC melakukan 6 kesalahan terkumpul di babak kedua itu, namun tendangan itu berjaya halang menggunakan dada oleh penjaga gawang Indera SC, Awang Haji Md Yunus.

Pada minit ke-38 menjadi petanda ia bakal bukan menjadi petang kemenangan buat MS ABDB, apabila percubaan pemainnya sekadar mengenai palang atas, setelah palang turut menjadi penyelamat Indera SC pada minit ke-16.

Popular posts from this blog

LLRC FT WIN 6-SIDED INVITATIONAL

BAYONG SENDS QAF FC TO SUMMIT

INDERA, TABUAN MUDA REPLAY CONFIRMED