INDERA SC BELASAH JERUDONG FC
Pertahanan tinggi lampai Indera SC
Reduan menghasilkan
hatrik dalam kemenangan 6-0 pasukannya ke atas Jerudong FC.
|
OLEH HASRULRAIZAN
BANDAR SERI BEGAWAN, 2
Jun – Indera SC menjarakkan dirinya empat mata semula di puncak Liga Super
DST-NFABD 2014 dengan kemenangan jitu 6-0 ke atas pasukan yang baru saja
mengecapi kemenangan pertamanya pada 28 Mei lalu iaitu Jerudong FC.
Masih memiliki satu
perlawanan dalam tangan berbanding pencabar terdekatnya, MS ABDB, yang kini
mencatat 28 mata dari 13 permainan, Indera SC malam tadi bermula goyah dengan
hanya berjaya menghasilkan satu gol, hasil jaringan pertahanan tinggi
lampainya, Reduan bin Haji Petra, pada minit ke-36.
Jaringan itu menjadi
pencetus kepada lima lagi jaringan Indera SC di separuh masa kedua, dengan dua
daripadanya menghasilkan rekod peribadi cemerlang buat Reduan, yang walaupun
bermain di posisi pertahanan tetapi masih berjaya menjaringkan hatrik buat
pasukannya.
Mohd Khairul Anwar bin
Abdul Rahim menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-63, diikuti dengan jaringan
Abdul Khair bin Haji Basri lima minit kemudian untuk merubah kedudukan kepada
3-0.
Selang lima minit
selepas itu, kedudukan perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan
Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menjadi 4-0 apabila giliran Md Zulkhairy bin
Razali pula menyumbangkan gol buat pasukannya.
Reduan menjaringkan gol
kedua peribadinya malam tadi bagi gol kelima Indera SC pada minit ke-81 dan
kemudiannya melakukan sesuatu yang jarang berlaku kepada pertahanan apabila
berjaya menghasilkan hatrik tujuh minit kemudian, sekaligus memuktamadkan
perlawanan dengan jaringan 6-0.
Selepas perlawanan
malam tadi, Indera SC kini mengumpul 32 mata dari 12 perlawanan, diikuti MS
ABDB di tangga kedua dengan 28 mata dari 13 perlawanan, dan MS PDB di tangga
ketiga dengan 22 mata dari 12 perlawanan.