INDERA KEKAL TANPA KALAH
Md Nur Ikwan (kanan) dan Md Zulkhairy
(dua kiri) bersama ketua pasukan
Sahrin (dua kanan) meraikan jaringan Reduan
(kiri).
|
OLEH
HASRULRAIZAN
BANDAR
SERI BEGAWAN, 5 Jun – Indera SC berjaya meneruskan rekod tanpa kalah malam tadi
apabila strategi positif menekan lawan sehingga ke penjaga gol pada separuh
masa kedua membuahkan hasil sekali gus memadamkan dua gol Wijaya FC pada
separuh masa pertama untuk menang 4-2.
Pertahanan
Wijaya FC yang terbukti kebal pada babak pertama sehingga mampu menutup ruang
daripada dibolosi Indera SC, ternyata gagal menangani serangan bertali arus
lawan pada babak kedua sehingga terhasilnya dua gol tandukan yang diapit oleh
dua gol sepakan dalam tempoh 31 minit.
Md
Nor Ikwan bin Othman membuka tirai jaringan Indera sembilan minit selepas rehat
menerusi tendangan kencang dari luar kotak untuk merubah kedudukan kepada 1-2,
dan misi menyamakan kedudukan berhasil pada minit ke-63 melalui tandukan
pertahanan Reduan bin Haji Petara.
Kemudian
dari sepakan percuma berhampiran tempat tendangan sudut sebelah kanan gawang
Wijaya FC, Md Nor Ikwan berjaya menyambungnya dengan tandukan untuk
menghasilkan gol ketiga Indera sekali gus membawa pasukannya ke depan buat
pertama kali dalam perlawanan malam tadi itu.
Lima
minit sebelum masa tamat, Md Zulkhairy bin Razali mengesahkan tiga mata Indera
SC menerusi jaringannya tatkala hanya berdepan dengan penjaga gol Wijaya FC
selepas mendapat lorongan terus dari tengah, dan 4-2 kekal sehingga wisel
penamat.
Wijaya
sebenarnya sudah selesa mendahului 2-0 sehingga separuh masa pertama berakhir,
hasil jaringan Khalil bin Saab pada minit ke-5 dan ke-20. Dua gol itu
seolah-olah memberi petanda akan berakhirnya rekod tanpa kalah, namun
persembahan mantap babak kedua pemain Indera SC di sepanjang Liga Super musim
ini termasuk ketika bangkit dari ketinggalan 0-3 kepada Kilanas FC pada 4 Mei
lalu untuk mencatat keputusan seri 3-3 ternyata bukannya nasib tetapi berupa
taktik yang sangat berkesan.
Melalui
kemenangannya itu, Indera SC kini 35 mata selepas 13 permainan untuk kekal
mengungguli puncak liga, empat mata di depan MS ABDB di tangga kedua yang sudah
bermain 14 kali.
Wijaya
FC kekal di tangga keenam, masih dengan 17 mata selepas 14 permainan, hanya
satu mata di belakang LLRC FT di tangga kelima yang juga sudah bermain 14 kali.